Rabu, 17 Oktober 2018 | 11:27am
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan satu kebakaran lot kedai runcit di Pekan Lido, malam tadi. - Foto Edmund Samunting

Anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik

KOTA KINABALU: Seorang anggota bomba cedera dipercayai terkena renjatan elektrik ketika operasi memadamkan kebakaran sebuah kedai runcit di Lido, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, anggota terbabit diberikan rawatan awal oleh pasukan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) untuk rawatan lanjut.

Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.44 tengah malam sebelum menghantar 21 anggota bersama dua jentera, satu lori tangki dan EMRS ke lokasi kebakaran.

“Api dapat dikawal 19 minit kemudian dan kebakaran membabitkan satu lot kedai menjual barangan runcit. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Saksi kejadian, Albert Chong, 42, berkata ketika kejadian dia berada di rumahnya di Taman Che Mei, kira-kira 400 meter dari lokasi kebakaran.

“Asap tebal menyelubungi kawasan bangunan yang menempatkan beberapa premis perniagaan.

“Ketika itu, saya tidak pasti premis yang mana terbakar kerana deretan bangunan dipenuhi asap tebal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Berita Harian X