Selasa, 16 Oktober 2018 | 3:48pm
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap seekor ular tedung selar berukuran 3.8 meter dirumah, di Kampung Kulambai, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi

Tedung selar 'cari makan' di dapur

KOTA BELUD: Seekor ular tedung selar berukuran 3.8 meter yang ‘menceroboh’ dapur rumah penduduk di Kampung Kulambai, di sini, berjaya ditangkap oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, penghuni rumah, Masran Minjan, 33, dan keluarganya hanya menyedari kehadiran reptilia berbisa itu ketika hampir menyiapkan hidangan makan malam.

Menurutnya, semua pintu dan tingkap ditutup sejak petang manakala isteri dan anak perempuannya berada di dapur untuk menyediakan makan malam, namun ular itu muncul secara tiba-tiba dari timbunan kotak berhampiran tong gas.

“Anak saya yang pada mulanya ingin menjerit sempat ditarik ibunya sebelum menjauhkan diri dan memaklumkan kepada saya.

“Kami terpaksa menangguhkan makan malam sejam sementara menunggu ular itu ditangkap anggota APM yang tiba selepas dihubungi,” katanya kepada NSTP.

Sementara itu, pegawai APM Unit Kota Belud, Jimmy Alberto Tining, berkata sebaik menerima panggilan berhubung kejadian, sepasukan anggota dihantar ke lokasi.

“Ular seberat empat kilogram itu ditemui di bahagian dapur pengadu dan ia bertindak agresif ketika operasi dijalankan, namun berjaya ditangkap lapan minit kemudian,” katanya sambil memaklumkan operasi ditamatkan jam 7.35 malam.

Berita Harian X