Selasa, 16 Oktober 2018 | 2:52pm
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin beramah mesra dengan anggota dan veteran angkatan tentera ketika menghadiri Majlis Meraikan Anggota Cedera Peringkat Pusat Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-85 di Pangkalan Udara Subang. - Foto Roslin Mat Tahir

Palu: ATM siap siaga bantu Indonesia

SHAH ALAM: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga menghantar bantuan kemanusiaan dan keselamatan ke Palu, Sulawesi, Indonesia yang terjejas akibat gempa bumi serta tsunami.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, bagaimanapun, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada republik itu mengenai keperluan bagi bantuan susulan.

“Kita sebelum ini hanya menghantar pesawat pelbagai guna, A400M dan pesawat C130 bagi menghantar barangan muatan berat serta keperluan asas.

“Alhamdulillah, pasukan kita berjaya menyelesaikan semua misi bantuan itu dan semua aset ketenteraan termasuk sebuah kapal laut selamat pulang ke tanahair pada 10 Oktober lalu.


Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin (dua kiri) berbual dengan bekas anggota angkatan tentera, Kamaruddin Mohd Kayat ketika menghadiri Majlis Meraikan Anggota Cedera Peringkat Pusat Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-85 di Pangkalan Udara Subang. - Foto Roslin Mat Tahir

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin beramah mesra dengan anggota dan veteran angkatan tentera ketika menghadiri Majlis Meraikan Anggota Cedera Peringkat Pusat Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-85 di Pangkalan Udara Subang. - Foto Roslin Mat Tahir

“Namun, kita bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersiap sedia sekiranya diperlukan bagi membantu negara jiran itu pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Cedera Peringkat Pusat sempena Hari ATM ke-85 di Pangkalan Udara TUDM Subang, dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pada majlis itu, seramai 65 anggota dan veteran ATM yang cedera kekal ketika bertugas diraikan dan sumbangan RM500 setiap seorang melalui dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) turut disalurkan kepada mereka.

Zulkifli juga berkata, pihaknya berpuas hati dengan penghantaran aset ketenteraan terutama pesawat A400M yang dianggap signifikan dalam membantu Indonesia.

“Kita berjaya membantu mengangkut muatan berat seperti lori tangki yang sememangnya amat diperlukan republik itu untuk dibawa ke lokasi terjejas.

Justeru, penggunaan A400M itu antaranya dianggap paling sigfinikan dan Malaysia juga antara negara terawal menghulurkan bantuan berkenaan,” katanya.

Baru-baru ini, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) mengumumkan 11 Oktober lalu sebagai tarikh menamatkan operasi mencari mangsa terselamat dalam bencana alam berkenaan.

Media Indonesia melaporkan jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah itu meningkat kepada 1,944 orang setakat ini.

Pada 28 September lalu, gempa bumi bermagnitud 7.4 skala Richter disusuli tsunami melanda Sulawesi terutama Palu dan Donggala.

11 dibaca
Berita Harian X