Selasa, 16 Oktober 2018 | 2:07pm

'Ratu dadah' diberkas

JOHOR BAHRU: Wanita berusia 34 tahun yang dikenali sebagai ‘Ratu Dadah’ atau ‘QueenPin’, diberkas polis selepas dikesan menjadi dalang aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di negeri ini membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM3 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata wanita berkenaan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dalam enam serbuan pada 12 hingga 14 Oktober lalu.

“Wanita yang pernah ditahan sebelum ini diberkas di sebuah rumah di Bandar Baru Uda dan dia menjadi ketua sindiket pengedaran wanita pertama di negeri yang ditahan polis.

“Suspek dipercayai mendalangi aktiviti pengedaran dadah di negeri ini yang turut bekerjasama dengan seorang lelaki yang juga ketua kongsi gelap 36 ditahan dalam operasi sama,” katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menahan 14 ahli sindiket membabitkan sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki warga Indonesia dan empat wanita tempatan berusia 26 hingga 39 tahun.

“Enam serbuan itu membabitkan premis kediaman dan lokasi di Jalan Teluk Buloh Batu Pahat, Bandar Baru Uda, Taman Horizon Hill, Taman Renggam Jaya, jeti Mersing dan Jalan Melor Batu Pahat.

“Serbuan itu hasil siasatan dan risikan yang rapi dan profesional JSJN Bukit Aman dan JSJN Johor dalam operasi di sekitar negeri ini,” katanya.

Mohmad berkata, dalam serbuan bemula jam 8.30 malam pada 12 Oktober hingga 10.30 malam 14 Oktober lalu itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah, kereta, motosikal, wang tunai Malaysia dan Indonesia serta barangan kemas.

“Sebanyak 16 kilogram dadah disyaki syabu, 6kg heroin, 0.25 ketamin, 97 biji pil ekstasi, 13 biji pil yaba dan satu biji pil Erimin 5 bernilai RM1juta.

“Turut dirampas sembilan kereta termasuk Jagiar XF, Toyota Vellfire, BMW, Ford Ranger, sebuah motosikal Yamaha, wang tunai RM138,000, pelbagai jam berjenama dan barangan kemas bernilai RM2 juta,” katanya.

Beliau berkata, ketua sindiket kongsi gelap yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah, selain seorang ahli sindiket berusia 34 tahun dikehendaki Polis Indonesia kerana melarikan diri dari tahanan Penjara Bengkalis Indonesia.

“Kami percaya semua bekalan dadah untuk 85,000 pengguna itu untuk edaran negara jiran termasuk Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur sehingga 18 Oktober bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHMAD Salleh (tiga dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan barang barang rampasan termasuk dadah yang dirampas dalam enam serbuan pada 12 hingga 14 Oktober lalu dan berjaya wanita berusia 34 tahun yang juga 'Ratu Dadah' atau 'QueenPin' ketika sidang media di Ibu Perjabat Polis Kontijen Johor (IPK) Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmed
Berita Harian X