Sabtu, 13 Oktober 2018 | 11:15am
KEADAAN bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat dekat Gerik di Ipoh, tengah malam tadi. - Foto ihsan bomba

Seorang maut, 2 cedera dan 34 terselamat

GERIK: Seorang pemandu bas maut dan empat lagi cedera manakala 28 lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan bas ekspres, lori dan treler di di Kilometer 32.8 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, Mohd Azizi Abdul Ghani, 37, maut di lokasi kejadian manakala dua wanita yang juga penumpang bas berusia 23 dan 28 tahun cedera.

Pemandu yang membawa lori muatan habuk kayu berusia 43 tahun turut cedera manakala kelindannya berusia 17 tahun parah.

Seramai 28 penumpang bas ekspres berkenaan serta pemandu dan kelindan sebuah lagi lori yang turut terbabit dalam nahas terbabit bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 2 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Jeli.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, bas terbabit memotong lori yang membawa muatan dawai besi yang berada di hadapan.

"Akibat jarak terlalu dekat dengan sebuah lori yang membawa muatan habuk kayu dari arah bertentangan, bas terbabit tidak dapat mengelak dan merempuh bahagian hadapan sebelah kanan lori terbabit serta menghimpit lori muatan dawai besi itu," katanya.

Ahmad Adnan berkata, akibat kemalangan itu, pemandu bas maut di lokasi kejadian selepas ditemui tersepit di tempat duduk pemandu dan dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala empat mangsa yang cedera dihantar hospital sama untuk rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut mendapati jalan berkenaan adalah berselekoh dan keadaan gelap tanpa lampu jalan selain permukaan jalan basah selepas hujan.

"Ketiga-tiga kenderaan berat itu mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X