Khamis, 11 Oktober 2018 | 6:53pm
KETUA misi Mercy Malaysia ke Palu, Norazam (kiri) menyerahkan khemah kepada ketua desa Pombewe, Sigi. - Foto NSTP
DOKTOR Mercy Malaysia memberi rawatan perubatan kepada mangsa yang berlindung di khemah sementara di Palu. - Foto NSTP

Mercy Malaysia derma khemah kepada mangsa bencana

KUALA LUMPUR: Berikutan ribuan mangsa gempa bumi, tsunami dan banjir lumpur di kota Palu, Donggala dan Sigi, Sulawesi Tengah, Indonesia tinggal dalam tempat berlindung yang tidak terurus, dihurung lalat dan nyamuk, Mercy Malaysia tampil menghulurkan pelbagai bantuan terutama khemah.

Ketua pasukan misi Mercy Malaysia ke Palu, Norazam Abu Samah, berkata kehidupan dilalui kebanyakan mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana itu amat menyedihkan pihaknya.

Norazam berkata, lebih membuatkan beliau simpati apabila kanak-kanak terpaksa menghuni khemah sementara yang didirikan menggunakan plastik, kain dan pelbagai bahan terpakai ditemui.

“Menyedari masalah mereka, Mercy Malaysia menerusi sumbangan rakyat Malaysia mengedarkan sebanyak mungkin khemah yang lebih kukuh dan selamat didiami.

“Hari ini (semalam), kami menyerahkan 100 khemah kepada 100 keluarga mangsa bencana di kampung Pombewe, Sigi, di sini.

“Setiap khemah berkenaan mampu memuatkan hingga lapan individu. Hasil tinjauan mendapati antara keperluan mendesak bagi kebanyakan mangsa adalah khemah, selain makanan,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Beliau berkata, penduduk di Kampung Pombewe yang dilawati adalah mangsa lumpur yang memusnahkan kediaman mereka sepenuhnya termasuk mangsa dari Lolu, Jono Oge dan Petobo di sini.

“Selain khemah, kami turut menyumbangkan tikar, kit tempat tinggal dan alas tempat tidur bagi memastikan mereka selesa ketika berada dalam khemah itu.

“Seorang daripada mangsa yang menerima khemah Mercy Malaysia ini baru melahirkan bayi pada jam 1 pagi tadi (semalam). Sumbangan seumpama ini akan diteruskan Mercy Malaysia bagi memastikan mangsa bencana di Palu mendapat bantuan sewajarnya daripada 13 sukarelawan dan sembilan doktor yang terus menabur bakti di sini,” katanya.

Beliau berkata, klinik bergerak yang diselia pihak Mercy Malaysia turut dipergiatkan bagi memastikan lebih ramai mangsa mendapat pemeriksaan kesihatan.

Kelmarin, pihak Mercy Malaysia mengagihkan kit kebersihan kepada 113 keluarga di Desa Loli Saluran, Kecamatan Banawa, Donggala, di sini.

Sumbangan membabitkan sabun mandi, syampu, berus dan ubat gigi, sikat rambut, ketip kuku, sabun basuh, baldi, pisau cukur, tuala wanita, seluar dalam dan tuala mandi.

38 dibaca
Berita Harian X