Khamis, 11 Oktober 2018 | 9:24am

Pemantauan cerun elak tanah runtuh di lebuh raya - PLUS

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) secara konsisten membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas 6,820 cerun di sepanjang lebuh raya kendaliannya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna terutama pada musim tengkujuh.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS mengklasifikasi cerun-cerun mengikut risiko bagi tujuan membolehkan pihaknya memberi perhatian, pemantauan dan pemeriksaan lebih teliti terutama yang berisiko tinggi.

“Langkah mengklasifikasi cerun-cerun mengikut risiko ini bertujuan membolehkan kami memberi lebih perhatian dan pemantauan serta menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kepada cerun berisiko tinggi di mana secara amnya, cerun-cerun ini dibahagikan kepada Cerun Berisiko Rendah (Kategori C), Risiko Sederhana (Kategori B), Risiko Tinggi (Kategori A) dan Risiko Sangat Tinggi (Kategori AA).

“Sejak 2004, PLUS mengenal pasti lima zon pemantauan cerun berisiko iaitu Zon Bukit Merah, Zon Jelapang, Zon Gua Tempurung, Zon Bukit Lanjan dan Zon Maokil. Zon ini adalah berdasarkan tahap risiko cerun dan juga kawasan tadahan luar sempadan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zakaria berkata setakat ini, tiada penambahan kawasan cerun tahunan namun sekiranya terdapat perubahan bilangan cerun disebabkan pembinaan persimpangan bertingkat yang baharu, ia akan direkodkan di dalam inventori cerun melalui sistem Sistem Pengurusan Cerun Lebuh Raya (EsMas).

Beliau berkata, pemeriksaan berkala dan pemantauan secara visual juga dilakukan mengikut kategori iaitu cerun Kategori AA (setiap empat bulan), Kategori A (setiap enam bulan), Kategori B (setiap 12 bulan) dan Kategori C (setiap 18 bulan) manakala pemeriksaan am setiap dua bulan bagi cerun berisiko tinggi.

Pemantauan dilakukan dengan beberapa kaedah termasuk pemantauan udara yang menggunakan helikopter di cerun berisiko tinggi dan di lima zon pemantauan.

“Dalam masa sama, penggunaan tolok hujan yang menggunakan Sistem Pemantauan Masa Nyata (RTMS) turut digunakan.

Sistem ini dibangunkan bagi membantu PLUS mengurus sistem penyelenggaraan aset lebuh raya melalui penghantaran maklumat atau data secara masa nyata kepada unit, jabatan atau individu yang terlibat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Lebih utama, sistem RTMS ini mampu memberi petunjuk kemungkinan akan berlakunya cerun runtuh dalam hubung kaitnya dengan kadar hujan yang mana sistem akan memberi amaran sekiranya bacaan hujan melangkaui had yang ditetapkan.

Teknologi lain yang digunakan adalah “Total Expressway Maintenance Management System” (TEMAN) yang bertindak sebagai pangkalan data berpusat dalam pengurusan aset di sepanjang lebuh raya di bawah kendalian PLUS.

Zakaria berkata, sistem TEMAN merekodkan data secara terperinci daripada segi teknikal dan skala penilaian risiko sehingga kepada hasil maklumat dan rekod penyelenggaraan.

Pemantauan juga menggunakan PLUS Geospatial, satu aplikasi menggunakan teknologi Geospatial untuk membantu dalam prapemantauan atau kajian awal di samping sebagai data sokongan bagi aktiviti pemantauan cerun.

Dalam tempoh lima tahun sejak 2014, PLUS telah membelanjakan RM75 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf cerun di sepanjang rangkaian lebuh raya kendalian PLUS.

Setakat ini, terdapat kira-kira 160 petugas PLUS yang terdiri daripada jurutera dan pasukan teknikal terlibat secara khusus dalam menjalankan pemeriksaan, penilaian dan penyelenggaraan cerun di lima lebuh raya kendalian PLUS iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (5,695 cerun), Lebuhraya ELITE (389 cerun), Lebuhraya Linkedua (376 cerun), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (193 cerun) dan lebuh raya lain seperti Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (167 cerun).

Selain itu, Zakaria berkata PLUS bekerjasama dengan Agensi Remote Sensing Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dari semasa ke semasa untuk melakukan penyelidikan berkaitan cerun seperti tanah runtuh dan aliran air bawah tanah.

Katanya antara yang menjadi perhatian utama penyelidikan tersebut adalah untuk mengesan kemungkinan kejadian tanah runtuh serta impak kepada lebuh raya kendalian PLUS berdasarkan parameter-parameter berkaitan.

“Keputusan penyelidikan ini memberi gambaran tentang keadaan cerun di sepanjang lebuh raya serta kawasan tadahan di luar sempadan lebuh raya, di zon pemantauan cerun di mana data yang dikumpul membolehkan penumpuan dan fokus diberikan di kawasan sepatutnya,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X