Rabu, 10 Oktober 2018 | 6:02pm
Sebuah Proton Preve dipandu seorang lelaki terbabas hingga melanggar pagar besi sebuah sekolah kebangsaan di Taman Scientex Pasir Gudang dikatakan mengalami migrain dan gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas melanggar pagar berkenaan. - Foto ihsan Orang Awam

Terbabas langgar pagar sekolah

PASIR GUDANG: Sebuah PROTON Preve dipandu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an terbabas hingga melanggar pagar besi Sekolah Kebangsaan Taman Scientex, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki yang dipercayai penduduk sekitar Jalan Pelanduk 9, dekat sini, dikatakan mengalami migrain sehingga gagal mengawal kenderaannya menyebabkannya terbabas melanggar pagar berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang laporan mangsa cedera akibat kemalangan yang berlaku ketika waktu rehat bagi pelajar sesi pagi sekolah itu.

Saksi yang enggan dikenali berkata, selepas merempuh pagar, kereta itu terbabas masuk ke kawasan sekolah sambil mengheret pagar besi itu dan terhenti apabila melanggar dua kereta lain yang diletakkan di tempat letak kereta bersebelahan kantin sekolah.

Sebuah Proton Preve dipandu seorang lelaki terbabas hingga melanggar pagar besi sebuah sekolah kebangsaan di Taman Scientex Pasir Gudang dikatakan mengalami migrain dan gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas melanggar pagar berkenaan. - Foto ihsan Orang Awam

Saksi yang juga pemilik sebuah kereta yang dilanggar itu berkata, ketika kejadian dia bersama rakan yang bekerja di kantin sekolah sedang mengangkat dan mengemas barangan di kantin.

“Ketika itu, saya terdengar bunyi kuat kereta melanggar pagar dan terkejut apabila nampak kereta meluru masuk ke kawasan sekolah dengan mengheret sekali pagar yang tercabut.

“Kereta itu terhenti apabila melanggar kereta saya dan rakan iaitu PROTON Saga dan PROTON Exora yang diletakkan di tepi kantin,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, pemandu PROTON Preve hanya tergamam di dalam kenderaannya dengan enjin masih hidup, tanpa membuka pintu.

Katanya, seorang pengawal keselamatan sekolah memecahkan tingkap kereta itu dan mematikan enjin kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.

“Ada guru dan murid yang datang ke tempat kejadian dan mungkin antara mereka menelefon ambulans yang tiba kemudian membawa pemandu kereta itu untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Berita Harian X