Isnin, 8 Oktober 2018 | 2:58pm
Presiden Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM), Lim Chien Cheng.

Bomba diminta kaji semula SOP termasuk keperluan SAR

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diminta mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) termasuk keperluan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa pada waktu malam di kawasan berisiko dan tebatan lombong selepas insiden enam anggota bomba terkorban pada 3 Oktober lalu.

Presiden Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM), Lim Chien Cheng, berkata kematian anggota itu menunjukkan kelompongan SOP itu sekali gus memerlukan pembaharuan atau penukaran secara menyeluruh prosedur terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata SAR pada waktu malam boleh dilakukan namun perlu diteliti aspek tempoh masa mangsa dilaporkan hilang.

“Pihak penyelamat tidak boleh terburu-buru melakukan operasi SAR terutama pada waktu malam hingga boleh membahayakan diri sendiri.

“Kalau mangsa hilang pada waktu petang, kemungkinan besar malam dia sudah meninggal dunia, ada baiknya menunggu sehingga matahari terbit untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

“JBPM juga perlu mengkaji risiko yang ada termasuk keadaan cuaca, jarak pandangan, kedudukan geografi dan dinamik air.

“Sebagai individu yang masih hidup, penyelamat perlu lebih berwaspada dalam hal berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam kejadian 3 Oktober lalu, enam anggota JBPM, iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pelabuhan Klang, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 (PPDA Shah Alam), lemas ketika melakukan operasi SAR di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan Pengguna (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi, berkata JBPM perlu memberi keutamaan kepada latihan modul operasi SAR di kawasan tebatan dan berisiko lemas berikutan tragedi itu.

Katanya, ilmu itu seterusnya perlu dihebahkan kepada masyarakat setempat supaya mereka dapat mengambil langkah susulan mengikut keperluan sementara menunggu bantuan JBPM.

“Saya percaya anggota bomba didedahkan dengan latihan modul di kawasan berisiko, namun sudah tiba masanya ia diberikan keutamaan.

“Jangan ambil mudah. Kita lihat rakyat di negara luar tidak bergantung 100 peratus kepada anggota bomba jika berlaku kejadian tidak diingini termasuk lemas.

“Sudah tiba masanya, pihak bomba mengadakan satu sesi khas bersama penduduk setempat untuk mengajar dan mendidik individu terbabit sedikit sebanyak mengenai SOP SAR mangsa,” katanya.

55 dibaca
Berita Harian X