Ahad, 7 Oktober 2018 | 4:16pm
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 21.5 Jalan Ipoh–Kuala Lumpur di Kampar, pagi tadi. - Foto ihsan PDRM

Empat cedera, tiga kereta bertembung

KAMPAR: Empat termasuk seorang anggota polis cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 21.5 Jalan Ipoh–Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 7.45 pagi itu, anggota polis lelaki berpangkat Koperal berusia 37 tahun yang memandu kereta jenis PERODUA Kancil dan seorang lelaki yang memandu kereta jenis PERODUA Alza berusia 32 tahun parah.

Penumpang Alza iaitu seorang wanita berusia 36 tahun dan seorang wanita yang memandu kereta jenis Toyota Vios berusia 30 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata siasatan awal mendapati kereta Alza dipandu lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Kancil dipandu anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kuala Dipang, dipercayai masuk ke laluan kereta Alza selepas dipercayai cuba memotong kenderaan lain di hadapan.

“Berikutan itu, kereta Kancil berkenaan merempuh kereta Alza sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan iaitu kereta Vios yang mengekori Alza,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat daripada perlanggaran terbabit, pemandu Alza dan Kancil cedera parah manakala penumpang Alza manakala pemandu Vios cedera ringan.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.

Hasron Nazri berkata siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X