Ahad, 7 Oktober 2018 | 4:02pm

Lelaki pandu lawan arus ditahan

HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditahan selepas memandu lori secara berbahaya dan melawan arus di Kilometer 432 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya, di sini, hari ini.

Kejadian jam 9.15 pagi itu mengakibatkan kemalangan membabitkan sebuah lagi lori di laluan berkenaan yang gagal mengelak kenderaan dipandu melawan arus oleh lelaki terbabit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan itu berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 37 tahun memandu di lorong tengah dengan melawan arus.

“Sebuah lori dipandu lelaki berusia 48 tahun yang berada di lorong tengah tidak sempat mengelak lori berkenaan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Azman berkata, kedua-dua pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil ujian saringan awal dilakukan terhadap pemandu lori berkenaan didapati negatif dadah.

“Lelaki terbabit juga dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk diambil darah bagi tujuan pemeriksaan alkohol.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit rosak di bahagian kiri dan hadapan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya.

Rakaman video kejadian berdurasi satu minit 25 saat turut tular selepas dimuat naik di media sosial, hari ini.

RAKAMAN video menunjukkan lori dipandu seorang lelaki melawan arus di Kilometer 432 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya, Hulu Selangor.
Berita Harian X