Sabtu, 6 Oktober 2018 | 2:29pm
ANGGOTA polis memeriksa penunggang motosikal dalam Ops Motosikal yang dijalankan di Jalan Genting Klang, dekat Setapak, malam tadi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Remaja lawan arus diberkas

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki nekad menggadaikan nyawa sendiri dengan menunggang motosikal melawan arus sejauh kira-kira dua kilometer kerana mahu menyelamatkan diri daripada ditahan pihak polis dalam sekatan jalan raya di Jalan Genting Klang, dekat Setapak, malam tadi.

Malah, dalam Ops Motosikal yang dijalankan Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bermula jam 10 malam itu, remaja berusia 17 tahun dan masih bersekolah itu hampir melanggar anggota yang cuba menahannya selepas dia membuat pusingan.

Bagaimanapun, selepas kira-kira dua kilometer melarikan diri dengan melawan arus, remaja yang dikejar lima anggota polis menggunakan motosikal itu berjaya ditahan dekat Wangsa Maju.

Ketika ditanya wartawan, remaja yang berasal dari Gombak itu mendakwa dia takut kerana tidak mempunyai lesen sebelum bertindak melarikan diri.

Dalam pemeriksaan itu juga, dua remaja yang menaiki sebuah motosikal turut cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas. Pemeriksaan polis mendapati penunggangnya tiada lesen memandu.

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Suprintendan Sarifudin Mohd Saleh, berkata sebanyak 215 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan dalam Ops Motosikal itu.

“Dalam Ops Motosikal sebanyak 55 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen memandu, 43 saman kerana lesen tamat tempoh, 32 kerana cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi 31 saman dan bakinya lain-lain kesalahan.

“Tiga remaja turut ditahan kerana didapati cuba melarikan diri daripada pemeriksaan. Tindakan mereka yang melawan arus membahayakan keselamatan dirinya dan keselamatan pengguna jalan raya lain sehingga boleh mendatangkan kematian,” katanya ketika sidang media sejurus operasi tamat.

Beliau berkata, operasi berterusan dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal mematuhi peraturan lalu lintas dan kami mendapati kesalahan tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh masih di tahap membimbangkan.

“Seperti remaja yang kami tahan kerana melarikan diri dengan melawan arus ini kerana hanya tidak mempunyai lesen memandu, namun sanggup membahayakan dengan menunggang secara bahaya. Ibu bapa sepatutnya mengambil tahu pergerakan anak mereka, jangan tunggu anak sudah tidak bernyawa baru nak menyesal,” katanya.

12 dibaca
Berita Harian X