Jumaat, 5 Oktober 2018 | 8:54pm
Seorang pegawai bomba melintasi Jalur Gemilang, bendera negeri Pahang dan bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang dikibarkan separuh tiang di Ibu Pejabat JBPM Pahang, hari ini. - Foto BERNAMA

Majlis penghargaan Wira Merah untuk anggota bomba terkorban

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengadakan Majlis Penghargaan Wira Merah di Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, Rabu depan.

Unit Komunikasi Korporat JBPM dalam satu kenyataan berkata, majlis itu bagi menghargai enam anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki yang hilang di tebatan lombong Taman Putra Perdana, Puchong, kelmarin.

“JBPM mengalu-alukan kehadiran individu, syarikat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat menghulurkan apa jua bentuk sumbangan kepada waris pegawai bomba berkenaan.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Norizan Saad di talian 03-889927939/019-2235554), PgKB II Ali Mohamad (03-88927938/012-7692964) atau PgKB II Syaiful Azri Ismail (03-88927995/019-2163340),” kata kenyataan itu, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.15 malam kelmarin, enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM itu lemas ketika operasi SAR Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, yang terjatuh di tebatan lombong, beberapa jam sebelum itu.

Keenam-enam anggota berkenaan yang lemas selepas terbelit tali akibat arus deras yang datang secara tiba-tiba, disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik yang berada di lokasi ketika operasi menyelamat diadakan.

Insiden meragut enam nyawa anggota bomba dalam satu kes adalah pertama kali dalam sejarah jabatan itu.

Empat mangsa adalah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; dan Yahya Ali, 24, manakala dua lagi dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

69 dibaca
Berita Harian X