Jumaat, 5 Oktober 2018 | 5:00pm

JPS nafi berlaku banjir besar di Sungai Perak

IPOH: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menafikan akan berlaku banjir besar di Sungai Perak dalam tempoh terdekat dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu sebagaimana tular dalam media sosial sejak semalam.

Pengarahnya, Dr Ahmad Anuar Othman, berkata pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sudah mengesahkan kepada pihaknya bahawa Empangan Chenderoh dalam keadaan baik dan selamat serta tidak pecah sebagaimana dakwaan dalam kenyataan palsu itu.

“Kenyataan palsu berkenaan banjir besar Sungai Perak mula tular media sosial sejak 4 Oktober 2018, JPS ingin memaklumkan bahawa pihak jabatan tidak pernah mengeluarkan kenyataan itu.

“Pihak TNB juga telah mengesahkan bahawa Empangan Chenderoh dalam keadaan baik dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan yang tular dalam media sosial yang mendakwa amaran awal sudah dikeluarkan JPS Perak kepada penduduk di sepanjang tebing Sungai Perak agar bersiap sedia kemungkinan banjir besar bakal berlaku.

Kenyataan itu mendakwa, banjir besar berlaku kerana satu lapisan Empangan Chenderoh telah pecah dan untuk mengelakkan keadaan lebih buruk, tiga lagi kunci air terpaksa dibuka dan penduduk diminta bersedia sebarang kemungkinan.

Ahmad Anuar berkata, Stesen Janakuasa TNB di Chenderoh sebelum ini perlu membuka pintu aliran air tambahan untuk mengawal paras air di Empangan Chenderoh kerana banjir kilat di Gerik telah surut sepenuhnya dan mula mengalir ke Sungai Perak.

Beliau berkata, paras air Sungai Perak di beberapa stesen di sepanjang sungai dipantau dengan rapi oleh JPS dan status semasa paras air di Sungai Perak masih lagi dalam keadaan normal dan terkawal.

Berita Harian X