Jumaat, 5 Oktober 2018 | 12:45pm
PANGLIMA ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tengah) bergambar bersama panglima angkatan tentera pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat ATM, di Masjid Khalid Al-Walid, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

ATM sedia hantar pasukan jika ada permohonan

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menghantar pasukannya ke Palu, Sulawesi, Indonesia yang terjejas akibat gempa bumi dan tsunami bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan dan keselamatan jika menerima permohonan dari republik itu.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, berkata pihaknya bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi memenuhi keperluan itu.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya menghantar tiga pesawat bantuan namun tidak menolak kemungkinan akan menambah bilangannya mengikut situasi semasa.

“Kalau berlaku bencana, negara yang terbabit akan memohon bantuan. Setakat ini, tiada permintaan demikian.

“Kita sentiasa bersedia, malah akan menghantar helikopter dan kapal jika terdapat keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat ATM, di Masjid Khalid Al-Walid, di sini, hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pada majlis itu, bekas Panglima Armada Barat TLDM, Datuk Seri Panglima Mohamad Roslan Mohamad Ramli menerima Anugerah Wira Ma’al Hijrah.

Sementara itu, Zulkifli berkata sebuah pesawat pelbagai guna, A400M dan dua pesawat, C130 milik TUDM digunakan ketika ini untuk menghantar barangan muatan berat dan keperluan asas.

“Pesawat A400M akan digunakan sebagai pengangkutan bagi memindahkan barangan bantuan daripada mana-mana pihak termasuk di Jakarta (Indonesia) dan Malaysia sebelum ia dihantar ke Balikpapan di Kalimantan.

“Apabila tiba di Balikpapan, pesawat C130 akan membawa barang itu ke Palu.

“Ia berikutan pesawat A400M tidak dibenarkan mendarat di Palu kerana landasan di sana mengalami kerosakan akibat gempa bumi menyebabkan ia tidak selamat digunakan pesawat besar,” katanya.

Setakat jam 6 petang semalam, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia memaklumkan jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,517 orang.

Pada 28 September lalu, gempa bumi bermagnitud 7.4 skala Richter disusuli tsunami melanda Sulawesi terutama Palu dan Donggala.

11 dibaca
Berita Harian X