Jumaat, 5 Oktober 2018 | 12:38pm
TIMBALAN Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah memeriksa perbarisan ketika melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya, hari ini. - Foto Irham Mohd Noor

Kejadian satu dalam sejuta

PUTRAJAYA: Tragedi enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) lemas di tebatan lombong Taman Putra Perdana, Puchong kelmarin disifatkan kejadian amat luar biasa selain diibaratkan kes satu dalam sejuta.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata enam anggota PPDA yang terbabit sangat terlatih dan bertauliah, selain mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di air.

"Mereka ini juga semuanya amat muda, malah yang paling tua berusia 34 tahun. Kalau kita tengok dari segi logiknya, tidak mungkin keenam-enam mereka ini tidak mempunyai keupayaan untuk bertahan dan berjuang untuk selamat jika mereka tidak menghadapi keadaan yang memang luar biasa dan kronik.

"Ini adalah situasi 'one in a million', walaupun keadaan kawasan kecil dengan air yang boleh dikategorikan sebagai cetek, kita tidak dapat mengatasi situasi ini kerana ia adalah sesuatu yang di luar jangkaan.

“Berdasarkan pengalaman, jika menghadapi keadaan yang begitu luar biasa dan kronik itu adalah di luar kawalan kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JBPM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Mohd Hamdan Wahid.

Dalam pada itu, Mohd Hamdan berkata kelayakan keenam-enam anggota yang menjadi mangsa dalam tragedi itu memang tidak boleh dipertikai kerana mereka adalah anggota PPDA yang sememangnya terlatih dan mematuhi kelayakan untuk melaksanakan tugas SAR di air.

Beliau berkata pentauliahan anggota PPDA berasaskan kepada latihan dihadiri iaitu Public Safety Diving Course (PSD), kursus khas diwujudkan untuk memastikan anggota apabila tamat kursus layak menerima elaun PPDA ditetapkan kerajaan.

Katanya, kira-kira 500 penyelam JBPM sudah melalui kursus berkenaan dan ia termasuk enam anggota yang terkorban dalam tragedi itu.

"Setiap anggota PPDA JBPM yang ditauliahkan mempunyai buku log yang menunjukkan bahawa mereka ini mengikut protokol tertentu untuk latihan setiap bulan, dan mereka tidak layak menerima elaun yang berkenaan jika gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan.

"Mereka ini bukan anggota penyelamat biasa, kelayakan anggota PPDA memang tidak boleh dipertikai kerana ia khas, bukan semua orang boleh buat.

“Mereka ini dihantar ke Terengganu Safety Training Centre (TSTC) iaitu institusi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam aspek mengajar orang mengenai menyelam dan bekerja di bawah air," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X