Khamis, 4 Oktober 2018 | 4:01pm
HANIPAH Mat Essa menunjukkan gambar arwah anaknya, Izatul Akma Wan Ibrahim ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bechah Kaki, Lubok Stol. - Foto Syaherah Mustapa

Lebih seminggu tidak berhubung, petanda akan pergi - Ibu

RANTAU PANJANG: “Saya pelik, Akma dah lebih seminggu tidak menghubungi saya, rupanya itu petanda anak akan pergi buat selamanya,” itu antara luahan ibu kepada Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) yang lemas ketika operasi.

Ibu mangsa, Hanipah Mat Essa, 56, berkata dia menerima panggilan telefon daripada pihak bomba pada jam 1 pagitadi yang memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

“Mak cik hanya mengetahui cerita sebenar apabila bomba datang ke rumah dan mak cik menerima berita terbabit dengan reda walaupun sedikit terkilan kerana sudah lama tidak berhubung dengan arwah.

“Arwah seorang anak yang baik dan bercita-cita untuk menjadi anggota bomba sejak daripada bangku sekolah lagi. Malah, arwah berbangga dengan kerjayanya kini yang mampu berkhidmat pada masyarakat.

“Sebelum ini dia ada menyuarakan hasratnya untuk menyertai Pasukan Payung Terjun namun tidak meneruskan hasrat itu selepas dihalang oleh saya.

“Kali terakhir berjumpanya pada Aidiladha lalu dan saya masih teringat lagi wajahnya yang teruja jika dapat melakukan aktiviti di dalam air kerana dari kecil dia sangat suka berenang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bechah Kaki, hari ini.

Hanipah berkata, anaknya itu disifatkan sebagai seorang yang peramah dan ceria serta disenangi sahabat andai serta ahli keluarga.

“Akma sudah lebih 10 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba dan tidak pernah sesekali merungut mengenai kerja, sebaliknya berasa bangga dapat membantu ramai orang.

“Kami pasti merindui gelagatnya yang suka berkongsi gambar dan video dengan bapanya, Wan Ibrahim Mat Daud, 60, melalui Whatsapp.

“Saya redha dengan pemergiannya dan masih menunggu ketibaan jenazah yang dijangka sampai selepas Asar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lubok Stol, di sini,” katanya.

Izatul Akma turut meninggalkan seorang balu, Rosamaria dan tiga anak berusia dua hingga tujuh tahun.

Berita Harian X