Khamis, 4 Oktober 2018 | 3:50pm
ROZMEY (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga enam anggota bomba yang lemas ketika operasi mencari dan menyelamat di Puchong, Selangor yang diwakili oleh Nazri Zakaria (tiga dari kanan) di Ibu Pejabat JBPM Kedah. - Foto Zuliaty Zulkiffli

JBPM Kedah akan kutip sumbangan untuk waris

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah akan membuat kutipan sumbangan untuk disalurkan kepada waris enam anggota bomba yang lemas di sebuah lombong di Puchong, Selangor malam tadi ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Nazri Zakaria berkata, pihaknya akan membuat kutipan di peringkat negeri dan balai buat anggota bomba yang ingin menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa.

“Sumbangan wang itu akan dikumpul sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa nanti.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar turut melakukan majlis bacaan Yaasin di surau pagi tadi untuk arwah kesemua mangsa dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan ahli Perniagaan dan pengasas syarikat DDR Bio Grow, Datuk Dr Che Rozmey Che Din yang tampil menghulurkan sumbangan RM1,000 sebagai tanda simpati kepada nasib menimpa anggota bomba terbabit.

Sumbangan itu diserahkan kepada Nazri yang mewakili pihak keluarga dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Dr Che Rozmeydi atas kesudiannya menyampaikan sumbangan itu kepada anggota bomba yang terkorban dalam kejadian itu.

Sementara itu, Dr Che Rozmey berkata, jasa dan pengorbanan semua mangsa yang terkorban amat besar dan sebaik sahaja terbaca kisah mengenai nasib mereka di berita dalam talian malam tadi, beliau terus bersetuju untuk menyalurkan sumbangan ini.

Dalam kejadian itu, enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) maut ketika menjalankan operasi SAR remaja berusia 17 tahun yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, 9.15 malam tadi.

Berita Harian X