Khamis, 4 Oktober 2018 | 9:18am

Jenazah anggota bomba tiba di BBP Shah Alam

SHAH ALAM: Suasana sedih dan sayu menyelubungi perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, di sini, apabila van jenazah yang membawa semua enam anggota bomba Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) tiba kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

Difahamkan, semua jenazah dibawa dari Hospital Serdang selepas selesai menjalani proses bedah siasat awal pagi tadi.

Terdahulu, anggota dan pegawai bomba membaca tahlil dan surah Yassin sementara menunggu ketibaan van jenazah pagi ini.

Antara yang kelihatan hadir termasuklah bekas Menteri Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan(KPKT) Tan Sri Noh Omar, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Hamdan Wahid, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mantek.

Solat jenazah sedang berjalan ketika ini selain jenazah akan diberikan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di kampung halaman masing-masing.

Enam penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 9.15 malam tadi.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Semua mereka berasal dari Sibu, Sarawak; Tawau, Sabah; Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan; Port Dickson, Negeri Sembilan; dan Beserah, Pahang.

JENAZAH enam anggota PPDA yang meninggal dunia malam tadi tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam untuk solat jenazah dan diberikan penghormatan terakhir. - Foto Faiz Anuar
JENAZAH enam anggota PPDA yang meninggal dunia malam tadi tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam untuk solat jenazah dan diberikan penghormatan terakhir. - Foto Faiz Anuar
JENAZAH enam anggota PPDA yang meninggal dunia malam tadi tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam untuk solat jenazah dan diberikan penghormatan terakhir. - Foto Saddam Yusoff
JENAZAH enam anggota bomba yang maut akibat lemas di Taman Putra Perdana, Puchong semalam disolatkan di Balai Bomba Seksyen 15 Shah Alam dengan dihadiri hampir 300 anggota serta keluarga. - Foto Saddam Yusoff
Berita Harian X