Rabu, 3 Oktober 2018 | 3:23pm

Denda minimum RM100,000, sebatan jual arak, rokok seludup

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah mencadangkan pindaan kepada Akta Kastam 1967 bagi menaikkan denda, minimum RM100,000 dan sebatan terhadap pihak yang menjual arak dan rokok seludup.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam, berkata cadangan pindaan itu sudah dimaklumkan kepada kerajaan dan menunggu untuk dibentangkan ke Parlimen.

“Apa yang kita sudah cadangkan kepada kerajaan adalah satu jumlah (penalti) yang berat iaitu minimum RM100,000, walaupun premis itu menjual hanya satu karton rokok atau sebotol arak seludup.

“Kita juga mengesyorkan supaya sebatan turut dikenakan kepada pesalah.

“Sekiranya pindaan ini diluluskan, kita percaya mampu mengawal kegiatan premis yang menjual rokok dan arak haram atau tiruan ini, bagi mereka yang terbabit, hentikanlah kegiatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Pada tahun lalu, JKDM sudah mencadangkan pindaan kepada Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, yang mana individu memiliki, menyimpan, mengangkut, menghantar, mengedar, menyorok dan menjual rokok atau minuman keras seludup boleh dikenakan denda tidak kurang RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Ketika ini, mereka yang didapati bersalah menjual dan memiliki rokok seludup mengikut seksyen sama hanya dikenakan hukuman denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun tiada perkembangan lanjut bagi pindaan akta berkenaan berikutan terdapat bantahan oleh beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan selain perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Difahamkan JKDM sekali lagi mencadangkan pindaan akta berkenaan kali ini termasuk susulan kes keracunan arak yang mengorbankan puluhan nyawa baru-baru ini.

Dalam pada itu Subromaniam berkata, JKDM sudah menggempur 1,063 premis menjual arak di sekitar Lembah Klang sejak 21 September lalu susulan kes keracunan arak berkenaan.

Katanya, hasil serbuan membawa kepada rampasan 17,374 liter minuman keras antaranya enama Grand Royal Whisky, Kingfisher Extra, Carlsberg, cap Kapak, Camel Strong, Mandalay, Club 99.

“Ia membabitkan nilai anggaran RM40,571 dan jumlah cukai sebanyak RM168,375. Dalam operasi ini juga seramai 129 orang ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 20(1) Akta Eksais 1976,” katanya.

Selain itu beliau berkata, pihaknya juga berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan arak tiruan dalam serbuan di sebuah premis kilang di Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjadi tempat memproses arak tiruan pelbagai jenama seperti Mandalay, Club 99 dan Grand Royal berdasarkan penemuan botol dan pelekat, alat pembotolan arak serta bahan memproses arak tiruan.

“JKDM menahan seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang disyaki terbabit dalam sindiket ini. Kami turut menemui 650 liter minuman keras berjenama The Sea Special Quality yang dipercayai adalah barang tak berkastam yang nilai dan cukainya dianggarkan sebanyak RM10,000,” katanya.

SUBROMANIAM pada sidang media mengenai kejayaan Kastam mematahkan sindiket pemprosesan arak tiruan di Jabatan Kastam KLIA, Sepang, hari ini. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Berita Harian X