Rabu, 3 Oktober 2018 | 1:14pm
Anggota Bomba berusaha mengeluarkan pemandu kereta Proton Wira, Muhammad Izzudin Affandi (gambar kecil) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 70.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Pulau Serai. - Foto Rosli Ilham

Lelaki maut, isteri parah nahas

DUNGUN: Seorang lelaki maut, manakala isterinya serta seorang lagi wanita parah dalam kemalangan di Kilometer 70.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Pulau Serai, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, Muhammad Izzudin Affandi, 26, yang parah di kepala dan cedera di anggota badan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun, kira-kira jam 8 pagi.

Isterinya, Nurul Baizura A Bakar, 25, patah kaki dan pinggang, manakala pemandu sebuah lagi kereta Toyota Vios, Rohaznida Abdul Rahim, 39, patah kedua-dua kaki.

Mereka dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu mangsa dari arah Kuala Terengganu ke Dungun dikatakan memotong sebuah lori.

Kereta mangsa dipercayai gagal memasuki semula lorong kiri jalan sebelum bertembung dengan Toyota Vios terbabit yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun dipanggil bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ” katanya.

59 dibaca
Berita Harian X