Selasa, 2 Oktober 2018 | 9:21am
Mayat mangsa seorang pelajar SMK Bunut Susu apabila motosikal Honda EX5 yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan Bunut Susu-Tendong, di sini dalam kejadian kira-kira 9.20 malam tadi. - Foto ihsan Pembaca

2 pelajar maut motosikal bertembung kereta

PASIR MAS: Dua pelajar sekolah maut apabila motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Bunut Susu-Tendong, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata mangsa, Aiman Mustakim Ali, 14 dan Muhammad Aminsyahril Ezzry Ibrahim, 14 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, pada jam 9.20 malam.

Katanya, mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu itu menaiki motosikal jenis Honda Ex-5 dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa, penunggang dan pembonceng motosikal datang dari arah Tendong menuju ke Bunut Susu manakala kereta terbabit dari arah bertentangan.

“Kita percayai seorang daripada mereka hilang kawalan sehingga menyebabkan terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Akibat pertembungan itu penunggang dan pembonceng terbabit tercampak ke atas jalan. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

“Mayat dihantar ke Hospital Lati untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

89 dibaca
Berita Harian X