Ahad, 30 September 2018 | 5:16pm
ANGGOTA bomba memadamkan kereta yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 206.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara. - Ihsan Bomba
DALAM nahas jam 1.30 pagi itu, dua kereta musnah terbakar namun tiada mangsa ditemui rentung. - Ihsan Bomba

Seorang maut, 2 parah, 4 cedera dalam nahas

ALOR GAJAH: Seorang lelaki maut, dua parah dan empat cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 206.1, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, di sini, awal pagi tadi.

Dalam nahas jam 1.30 pagi itu, dua kereta musnah terbakar namun tiada mangsa ditemui rentung.

Pemandu PROTON Persona, Khor Choon Poh, 32, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan pada kepala manakala penumpangnya, Chiam Beng Soon, 34, dan penunggang motosikal parah, kini dirawat di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Alor Gajah.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Deputi Superintendan Mohd Khairulzaman Ishak, berkata nahas membabitkan kereta PROTON Saga BLM dan Persona, Honda Insight, kenderaan pelbagai kegunaan (MPV) Nissan Grand Livina dan motosikal Honda EX5.

Katanya, semua kenderaan dari arah sama iaitu Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

“Kereta PROTON Pesona dikatakan merempuh PROTON Saga BLM yang melintang di lorong tiga sebelum terbabas ke kiri melanggar Grand Livina yang berada di bahu kiri jalan.

“Kejadian menyebabkan kedua-dua kereta PROTON berkenaan terbakar. Bagaimanapun, semua pemandu dan penumpang sempat dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Khairulzaman berkata, mangsa yang maut berjaya dikeluarkan orang awam dari PROTON Persona yang dipandunya sebelum kereta itu terbakar.

Katanya, semua pemandu, Honda Insight, Nissan Grand Livina dan PROTON Saga BLM bersama penumpang iaitu seorang wanita dan kanak-kanak berusia tujuh tahun serta penunggang motosikal Honda EX5 sudah dialihkan ke bahu kiri jalan selepas terbabit kemalangan beberapa minit sebelum itu.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Mohamad Hamdan Sudin, berkata sembilan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 1.33 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, kami memberi rawatan awal kepada mangsa cedera. Bantuan jentera tangki air disalurkan bagi melakukan kerja pemadaman kebakaran,” katanya.

33 dibaca
Berita Harian X