Sabtu, 29 September 2018 | 1:27pm
DATUK Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Abdul Latif serta sepupunya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya oleh pegawai SPRM untuk permohonan sambung atau bebas reman bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan menerima rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek bernilai jutaan ringgit selepas direman selama 4 hari. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Reman Abdul Azeez, abang disambung 6 hari lagi

PUTRAJAYA: Perintah tahanan reman Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dan abangnya, disambung enam hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kontrak Tabung Haji (TH).

Perintah lanjutan bermula esok hingga 5 Oktober itu dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Shah Wira juga memerintahkan seorang lagi suspek iaitu sepupu Abdul Azeez, dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.

Pada Rabu lalu, Abdul Azeez, abang dan sepupunya ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Difahamkan, perintah penahanan reman itu adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Terdahulu, Abdul Azeez, abang dan sepupunya yang juga pengarah syarikat, tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketiga-tiga mereka diwakili peguam Datuk K Kumaraendran.

Abdul Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ditahan Selasa lalu selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah, di ibu pejabat SPRM, di sini.

Berita Harian X