Jumaat, 28 September 2018 | 12:44pm

Polis akan panggil lagi Najib, Rosmah

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman akan memanggil semula Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung siasatan kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarahnya, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata pihaknya memerlukan maklumat daripada pasangan itu untuk membantu siasatan.

“Kita sudah rakam lebih 70 keterangan daripada pelbagai individu berhubung siasatan, dan Najib akan dipanggil lagi untuk dirakam keterangannya dalam masa terdekat.

“Manakala Rosmah akan dipanggil juga untuk dirakam keterangan dan mengenal pasti barangan yang dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Amar Singh juga turut mengesahkan mengambil keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, kelmarin berhubung kandungan ceramahnya mengenai syarikat itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata, pihaknya akan memanggil Rosmah dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berkaitan rampasan barang kemas yang dipercayai miliknya yang dilakukan polis Jun lalu.

Barang kemas itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dana 1MDB.

Sebelum ini, Najib berdepan 21 pertuduhan kerana dakwaan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion dan empat tuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion membabitkan dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

21 dibaca
Berita Harian X