Khamis, 27 September 2018 | 1:49pm

Wanita Filipina guna MyKad palsu dipenjara empat bulan

KLANG: Akibat menggunakan MyKad palsu, seorang wanita warga Filipina dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan oleh Mahkamah Majisret di sini, hari ini.

Majistret Roslizi Sulaiman memutuskan demikian selepas tertuduh, Berkis Sisam, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan dan fakta kes dikemukakan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Zamboanga itu didakwa menggunakan MyKad palsu bernombor 830206-12-5128 atas nama Siti Sarah Sarudin sebagai pengenalan dirinya.

Perbuatan itu dilakukan di Blok 37, Pangsapuri PKNS, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, pada jam 1.35 pagi, 15 September lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990(Pindaan 2007) yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, wanita yang masih bujang itu ditahan dalam satu operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Imigresen cawangan Pelabuhan Klang di sekitar daerah ini.

Hasil semakan Bahagian Rekod Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor mendapati imej dan cap jari yang merujuk kepada individu pada kad pengenalan itu tiada dalam rekod.

Siasatan lanjut kemudian membawa kepada pengakuan suspek yang mendakwa menggunakan kad palsu itu sejak beberapa bulan lalu. Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN negeri, Zamri Ramli.

Roslizi turut memerintahkan semua barang kes dilupuskan oleh JPN selain hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tangkapan.

SEORANG wanita warga Filipina, Berkis Sisam (kanan) dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan oleh Mahkamah Majisret Klang akibat menggunakan MyKad palsu. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X