Khamis, 27 September 2018 | 12:37pm
PASUKAN mencari dan menyelamat berjaya menemui jenazah Warga Thailand, Supar Jahteh, 18, yang lemas di kawasan air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, pagi ini. - NSTP/Rosli Ilham

Pemuda Thailand hilang ditemui lemas

DUNGUN: Kehilangan pemuda warga Thailand yang berkelah di kawasan air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, di sini, petang semalam terjawab, selepas dia ditemui lemas, pagi tadi.

Mayat Supar Jehteh, 18, berasal dari Pattani, Thailand ditemui pasukan mencari dan menyelamat yang menyambung operasi pagi ini, kira-kira jam 10.10 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, Jaswari Awang berkata, mayat mangsa ditemui di dasar air terjun terbabit, kira-kira 300 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Katanya, sepasukan anggota bomba bersama polis, Unit Skuba Bomba dan penduduk kampung menyambung operasi mencari kira-kira jam 8 pagi tadi.

“Mayat mangsa dibawa naik ke daratan sebelum diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan berhubung kejadian.

Supar dikatakan pergi berkelah di situ bersama 11 rakan terdiri lima lelaki dan enam perempuan, kira-kira jam 11.45 pagi semalam.

Mangsa bersama tiga rakan dikatakan naik ke atas sebuah batu besar di situ untuk mandi dan dua rakan mangsa turun makan tengah hari, namun mangsa tidak muncul.

Selepas dua jam tidak muncul, rakan mangsa menghubungi orang kampung yang membantu mencari mangsa namun gagal, sebelum mereka menghubungi pihak bomba.

Berita Harian X