Rabu, 26 September 2018 | 8:22pm
Warga Thailand, Supar Jahteh (gambar kecil), 18, dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke dalam air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, petang tadi. - Foto Rosli Ilham

Pemuda Thai dikhuatiri lemas di Lubuk Kain

DUNGUN: Seorang pemuda warga Thailand dikhuatiri lemas ketika berkelah di kawasan air terjun Lubuk Kain, Kampung Syukur, dekat sini, petang tadi.

Mangsa, Supar Jehteh, 18, berasal dari Pattani, Thailand dikatakan pergi berkelah di situ bersama 11 rakan terdiri daripada lima lelaki dan enam perempuan, jam 11.45 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, Jaswari Awang, berkata mangsa bersama tiga rakan naik ke atas sebuah batu besar di situ.

Katanya, kira-kira jam 2 petang, dua rakannya itu turun untuk makan tengah hari dan sebaik naik semula ke atas batu itu, rakan mangsa mendapati mangsa tiada di situ.

“Menyedari kehilangan mangsa, rakan-rakannya bertindak mencari di sekitar kawasan itu bersama penduduk Kampung namun tidak menemuinya.

“Selepas dua jam melancarkan gerakan mengesan mangsa, penduduk kampung membuat laporan di Balai Bomba AMBS,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di tempat kejadian.

Jaswari berkata, enam anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 4.15 petang.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam lubuk terbabit ketika dalam perjalanan turun untuk makan tengah hari.

“Gerakan mencari dan menyelamat sedang kita lakukan termasuk meminta bantuan daripada Unit Scuba daripada Balai Bomba dan Penyelamat BBP Kuala Terengganu dan Kuala Berang,” katanya.

Katanya, setakat jam 7.15 petang ini, usaha mencari dan menyelamat gagal menemui mangsa.

Kes terbaru itu menjadikan jumlah korban di Lubuk Kain seramai enam orang. Dalam kejadian 21 Ogos lalu, dua sahabat iaitu Muhammad Arif Haikal Amran, 16 dan Muhammad Hafiz Asran, 16 lemas di kawasan itu.

73 dibaca
Berita Harian X