Selasa, 25 September 2018 | 2:02pm
DATUK Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ditahan SPRM di Ibu Pejabat SPRM hari ini. - NSTP

Azeez Rahim, abang ditahan bantu siasatan rasuah syarikat kontraktor

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM hari ini.

Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditahan jam 11.15 pagi selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah.

Abangnya, Abdul Latif yang juga pengurus besar sebuah syarikat ditahan di Sungai Buloh, 15 minit selepas itu.

Sumber memberitahu BH, kedua-duanya difahamkan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek.

Sumber turut berkata, nilai rasuah yang disiasat ketika ini bernilai jutaan ringgit dan ketika ini, SPRM turut membuat siasatan dalam beberapa akaun namun nilai sebenar masih belum diketahui

Siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

SPRM pada Mei lalu pernah merampas wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta dan barang perhiasan termasuk emas di beberapa lokasi yang mempunyai kaitan dengan Abdul Azeez.

Serbuan itu ada kaitan mengenai siasatan berkenaan satu projek seliaan TH.

Dalam serbuan itu, sepasukan pegawai SPRM menyerbu empat lokasi termasuk dua kediaman Abdul Azeez di Sunway dan Baling serta pejabat TH serta Pejabat Kelab Putera 1Malaysia, di sini.

Wang tunai Ringgit Malaysia yang dirampas dipercayai sejumlah RM500,00 dan selebihnya adalah mata wang asing bernilai kira-kira RM500,000.

Antara mata wang asing dari negara seperti Britain, Vietnam, India, Korea Utara, UAE, Mesir, Eropah, Sri Lanka, Syechelles, Somalia, Myanmar, Afrika, Pakistan dan Qatar.

Berita Harian X