Sabtu, 22 September 2018 | 8:55pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa turun seorang pendaki lelaki, Hazrul Nizam Mohd Haranlani, meninggal dunia ketika mendaki Gunung Berembun bersama 26 orang berkumpulan di Jelebu. - Foto Ihsan Pembaca
HAZRUL Nizam Mohd Haranlani, (kiri) meninggal dunia ketika mendaki Gunung Berembun bersama 26 orang berkumpulan di Jelebu. - Foto Ihsan Pembaca

Ajal di Gunung Berembun

SEREMBAN: Pegawai kastam dari Putrajaya meninggal dunia ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Berembun dekat Jelebu, hari ini.

Hazrul Nizam Mohd Haranlani, 41, dikatakan pengsan ketika dalam pendakian itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.44 pagi dan menggerakkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat di Seremban dan Senawang ke gunung berkenaan.

“Sebaik tiba jam 12.10 tengah hari, anggota kami memulakan pendakian dan menemui mangsa pada paras 1,200 meter dari aras laut.

“Ketika ditemui lelaki itu sudah meninggal dunia. Jenazah Allahyarham kini masih dalam perjalanan turun oleh anggota kami,” katanya.

Norazam berkata, berdasarkan maklumat, Hazrul Hizam menyertai ekspedisi itu bersama 26 rakannya dan mula mendaki Gunung Berembun setinggi 2,077 meter dari aras laut itu pada jam 7 pagi.

Katanya, jenazah Hazrul Nizam akan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk tindakan selanjutnya.

Berita Harian X