Khamis, 20 September 2018 | 2:42pm
NAJIB disoal siasat hampir empat jam selepas ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP / Mohd Yusni Ariffin

Najib disoal 4 jam

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disoal siasat hampir empat jam selepas ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman di Menara KPJ Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Najib, 65, tiba di ibu pejabat AMLA jam 9.20 pagi tadi dengan diiringi sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau ditahan pasukan itu petang semalam.

Kehadiran Najib ke situ bagi membantu siasatan oleh pihak polis bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kehadiran Najib yang memakai sut berwarna gelap dan berkemeja biru muda disambut beberapa pegawai AMLA yang dilihat menunggu di lobi bangunan itu sejak jam 8.30 pagi.

Ini adalah kali ketiga Najib dipanggil untuk dirakam keterangan kepada pihak Unit AMLA berhubung siasatan 1MDB yang mana Najib pernah dipanggil pada 27 Ogos dan 30 Ogos lalu.

Semalam, Datuk Seri Najib ditahan oleh pihak SPRM pada jam 4.13 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan semalam memaklumkan, Najib di tahan berhubung kes 1MDB berkaitan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi beliau mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Siasatan polis pula dijalankan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengesahkan Najib ditahan setelah mendapat persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara.

Selesai soal siasat, Najib kemudian dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dari Menara KPJ pada jam 1.38 petang untuk proses pertuduhan ke atasnya membabitkan sekurang-kurangnya 25 pertuduhan mengikut kedua-dua akta itu.

Berita Harian X