Selasa, 18 September 2018 | 10:10pm

Anggota polis, OKT cedera kemalangan

SEREMBAN: Dua anggota polis dan dua orang kena tuduh (OKT) cedera apabila kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan tol Senawang petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dua lagi anggota polis dan tiga OKT lain yang berada dalam van terbabit tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan berpunca apabila van Toyota Hiace berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Pemandu dikatakan gagal mengelak Toyota Hilux yang berhenti mengejut berikutan kesesakan jalan raya di kawasan itu.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Amer Abu Kassim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.57 petang sebelum satu jentera dan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pemandu kenderaan polis berkenaan patah kaki kanan sementara seorang lagi anggota polis mengalami kecederaan ringan di bahagian dada.

“Seorang OKT juga putus urat di bahagian peha dan seorang lagi turut mengalami kecederaan ringan di bahagian dada.

“Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kes kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X