Selasa, 18 September 2018 | 6:03pm
Lelaki yang sesat di dalam hutan di Gunung Singai, di sini, sejak semalam berjaya menghantar lokasi kedudukannya menerusi aplikasi WhatsApp. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

Pendaki hilang di Gunung Singai

BAU: Lelaki yang sesat di dalam hutan di Gunung Singai, di sini, sejak semalam berjaya menghantar lokasi kedudukannya menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Bagaimanapun, pasukan mencari dan menyelamat menghadapi kesukaran untuk menentukan kedudukan itu kerana difahamkan apabila dipadankan dengan peta sebenar, lokasi yang dihantar mangsa, Stanley Kho, 22, jauh tersasar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Ebby Hirwandy Sarbini, berkata sehingga jam 5 petang ini, anggotanya masih giat mencari mangsa di sekitar gunung terbabit.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan selepas pihaknya menerima laporan pada jam 4.35 petang semalam.

Operasi itu membabitkan sembilan anggota bomba, tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan dibantu orang awam.

“Pencarian masih diteruskan petang ini selepas menghadapi sedikit kesukaran pagi tadi akibat hujan lebat,” katanya.

Mangsa dikatakan hilang ketika bersendirian mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Kehilangan mangsa disedari beberapa rakannya yang menemui keretanya yang diletakkan di kaki gunung berkenaan.

Ebby Hirwandy berkata, kali terakhir mangsa berhubung dengan rakannya itu menerusi aplikasi WeChat pada jam 10.05 pagi semalam.

“Bagaimanapun, selepas lama menunggu di kaki gunung dan panggilan tidak dijawab selepas komunikasi terakhir itu, empat rakannya mendaki gunung itu untuk mencari mangsa pada jam 4 petang semalam.

“Bagaimanapun, mereka gagal menemui mangsa dan rakannya terus menghubungi BBP Bau meminta bantuan,” katanya.

34 dibaca
Berita Harian X