Selasa, 18 September 2018 | 11:08am
Dua Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM400 daripada seorang penjaga kedai komputer tahun lalu. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Dua polis mengaku tak bersalah kes rasuah

JOHOR BAHRU: Dua Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM400 daripada seorang penjaga kedai komputer tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Asrol Che Hassan, 30, dan Cornelius Guntalib, 27, membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama dengan niat meminta suatu suapan wang tunai bernilai RM500 daripada penjaga kedai komputer berusia 28 tahun.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan saman terhadap pemuda itu kerana memiliki cukai jalan tamat tempoh dan tidak memiliki lesen motosikal.

Kedua-dua tertuduh juga diminta tidak mengambil tindakan untuk mengambil ujian saringan air kencing terhadap individu sama pada jam 5.20 petang.

Kedua-dua tertuduh turut berdepan tuduhan kedua menyetujui terima wang tunai bernilai RM400 pada jam 5.30 petang, manakala pertuduhan ketiga menerima rasuah bernilai RM400 pada jam 8.10 malam.

Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan di Pondok Komuniti Tampoi Indah, Jalan Mawar, Taman Tampoi Indah 2, Tampoi pada 16 Jun tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Syarina Raizan, manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd Fairoz Majeed.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 18 Oktober ini.

Terdahulu pada prosiding berlangsung pada jam 9.40 pagi itu, kedua-dua tertuduh ditawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Peguam kedua-dua tertuduh bagaimanapun mencadangkan jumlah jaminan rendah diberikan kepada kedua-dua tertuduh kerana memberi kerjasama sepanjang siasatan dilakukan SPRM.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Berita Harian X