Isnin, 17 September 2018 | 5:54pm

Suri rumah rugi RM5,000

BUTTERWORTH: Seorang suri rumah kerugian lebih RM5,000 selepas beg tangannya dilarikan seorang lelaki yang memecahkan cermin kereta Audi Q7 miliknya yang diletakkan di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Sungai Puyu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.35 malam itu, mangsa Saw Ean Siew, 48, berhenti di bahu jalan untuk ke kedai runcit di situ dan sebaik mahu ke keretanya, dia ternampak seorang lelaki sedang memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan kereta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek kemudian mengambil beg sandang milik mangsa yang diletakkan di bahagian bawah tempat duduk hadapan penumpang.

“Mangsa cuba mengejar suspek namun lelaki itu berjaya melarikan diri menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran BPL 723 ke arah Maklom.

“Suspek memakai baju-t berwarna putih dan menutup muka menggunakan helmet,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian dan mendakwa kerugian hampir RM5,000.

“Antara barangan mangsa yang dicuri ialah wang tunai RM4,000, kad kredit HSBC, lesen memandu, kad pengenalan dan barang kemas,” katanya.

Noorzainy berkata, aksi suspek lelaki itu berjaya dirakam kamera yang dipasang pada jentera bomba sukarela yang diletakkan di belakang kereta mangsa.

Katanya, suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan dan menangkapnya sedang dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

93 dibaca
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) seorang wanita kerugian RM5,000 apabila bag miliknya yang diletakkan di bawah tempat duduk hadapan penumpang keretanya dilarikan seorang lelaki selepas memecahkan cermin keretanya dalam kejadian di Jalan Sungai Puyu.
Berita Harian X