Sabtu, 15 September 2018 | 6:33pm
Sebahagian kenderaan yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Ihsan PDRM

Enam ditahan dalam Ops JPJKK Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Lebih 200 pengguna jalan raya dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Operasi yang dilakukan di Jalan Raja Laut menghala ke Chow Kit itu bermula pada jam 10 malam dan tamat pada jam 1 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata daripada jumlah itu, enam individu ditahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1942 kerana melakukan kesalahan menunggang dalam keadaan berbahaya.

Katanya, sebanyak 228 saman pula dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan tiada lesen memandu mencatat jumlah saman tertinggi iaitu sebanyak 80 saman, kesalahan tiada nombor pendaftaran, 60 saman dan lesen kenderaan memandu tamat tempoh, 40 saman.

“Kesalahan lain ialah lesen memandu tamat tempoh, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan ubah suai kenderaan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Operasi oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT).

Berita Harian X