Rabu, 12 September 2018 | 1:07pm
ANGGOTA bomba dan penyelamat sedang mengumpil pintu kereta Proton Satria Neo menggunakan alat khas bagi menyelamatkan bayi lelaki berusia 10 bulan yang terperangkap di dalamnya di Hentian R&R, Rantau Manis. - Foto Ramli Ibrahim
HASRI Husin (kanan) mendukung bayi lelaki berusia 10 bulan milik pasangan suami isteri yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur sebaik berjaya diselamatkan dalam kereta yang terkunci di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Rantau Manis. - Foto Ramli Ibrahim

Bayi terperangkap dalam kereta

GUA MUSANG: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan terperangkap di dalam kereta hampir sejam di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), Rantau Manis, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Zafrieyl Danish Zulfahmey berjaya diselamatkan sepasukan anggota bomba yang bertindak mengumpil pengunci kereta Proton Satria Neo menggunakan alat khas.

Kejadian berlaku pada jam 6.40 petang, ketika ibu bapa bayi itu yang berusia 25 dan 27 tahun berhenti rehat di R&R ketika dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Zafrieyl Danish dikatakan sedang tidur di tempat duduk belakang dan secara tiba-tiba kereta itu terkunci sebaik ibu bapa bayi itu keluar dari kereta berkenaan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Hasri Husin, berkata pasangan suami isteri itu terkejut apabila kereta itu terkunci dengan sendiri sebaik mereka keluar dari kereta itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.45 petang dan lapan anggota diketuainya dirinya bergegas ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba, bayi terbabit masih tidur dan ibu bapanya bersama orang ramai mencuba untuk membuka kereta itu tapi tidak berjaya.

“Kami mula menjalankan operasi pada jam 7.13 malam dan berjaya menyelamatkan bayi terbabit dalam masa 10 minit dengan mengumpil kunci bahagian pemandu kereta terbabit,” katanya.

12 dibaca
Berita Harian X