Rabu, 12 September 2018 | 1:00pm
OPERASI mencari dan menyelamat kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas di Sungai Kalabakan, Tawau. - Foto ihsan Polis
Operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas di Sungai Kalabakan, Tawau. - Foto ihsan Polis

Operasi SAR budak hilang diperluas

TAWAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas dan kemungkinan dibaham buaya di Sungai Kalabakan berhampiran Kampung Atur Maju dekat sini, semalam diperluaskan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam, Nur Aliyah Ansar, 8, dilaporkan hilang ketika mandi di sungai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin, berkata operasi SAR yang disambung semula pada jam 8 pagi tadi membabitkan enam anggota bomba dengan dibantu 10 anggota Bomba Sukarela Kalabakan serta masing-masing enam anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dan Balai Polis Kalabakan.

Katanya, kawasan pencarian diperluaskan sejauh kira-kira 50 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang yang turut dibantu oleh tiga anggota Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah serta penduduk kampung.

“Pagi ini, pasukan penyelamat meneruskan operasi bagi mengesan mangsa menggunakan aset dan bot agensi masing-masing dengan menyusuri sepanjang tebing sungai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Operasi SAR dihentikan pada jam 6 petang semalam berikutan keadaan gelap.

22 dibaca
Berita Harian X