Ahad, 9 September 2018 | 7:53pm
Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Wanita hamil maut selepas 15 jam bertarung nyawa

PEKAN: Selepas hampir 15 jam bertarung nyawa, wanita hamil sembilan bulan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 53 Jalan Pekan-Nenasi, dekat sini, petang semalam, disahkan meninggal dunia.

Mangsa, See Li Jien, 25, dari Lorong Bukit Setongkol Perdana 47, Kuantan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kira-kira jam 8.25 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Amran Sidek berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa yang hamil sembilan bulan dalam perjalanan ke Rompin dari Kuantan atas urusan kerja.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta PERODUA Myvi dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebatang pokok.

“Mangsa dibantu dikeluarkan orang awam dan dikejarkan ke HTAA untuk mendapatkan rawatan sebelum meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan tidak hujan namun jalan tidak berturap.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X