Khamis, 6 September 2018 | 3:25pm
MAZLAN (kiri) lancarkan Info Line Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. NSTP/Shahiman Sharip

Salur aduan jenayah guna talian 'hotline'

SHAH ALAM: Orang ramai kini boleh melaporkan secara terus kejadian jenayah di kawasan masing-masing menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp di talian ‘hotline’, 012-600 9999.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, selain menyalurkan kejadian jenayah, talian yang diperkenalkan Polis Selangor hari ini turut membolehkan orang ramai membuat semakan status aduan dan perkembangan siasatan polis terhadap laporan mereka.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang kejadian jenayah di kawasan mereka seperti judi atau jenayah lain menerusi talian ini.

"Bagaimanapun, polis tidak akan melayan sebarang panggilan telefon menerusi talian ini, mereka yang melaporkan kejadian jenayah juga tidak perlu bimbang kerana semua maklumat dan butiran mereka akan dirahsiakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Di dalam perkembangan berasingan, polis Selangor melakukan sebanyak 1,429 serbuan terhadap premis-premis barang lusuh di negeri ini mulai Januari hingga 17 Ogos lalu, yang dipercayai menjadi tempat penjenayah melupuskan hasil kegiatan jenayah mereka.

Mazlan berkata, daripada serbuan berkenaan, sebanyak 413 tindakan saman mengikut Seksyen 6 Akta Barang-Barang Lusuh dan Terpakai 1946 (Akta 189) dikenakan terhadap pengusaha premis barang lusuh yang tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

"Selain tindakan saman, kita turut menahan seorang pengusaha premis barang lusuh di Ara Damansara, Petaling Jaya dan menemui sejumlah 85 batang kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilaporkan hilang pada 26 Julai lalu.

"Oleh sebab itu, pengusaha barang lusuh dinasihatkan supaya tidak berurusan atau membeli barangan yang disyaki dicuri bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha premis barang lusuh dan tindakan seperti pembatalan lesen juga akan dikenakan sekiranya mereka didapati bersalah.

69 dibaca
Berita Harian X