Rabu, 5 September 2018 | 1:56pm

Pemandu bergelar 'Datuk Seri' dipenjara 18 bulan

IPOH: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya Setiausaha Sulit Perdana Menteri bergelar Datuk Seri, dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah memiliki dan menggunakan pelbagai peralatan kebesaran palsu, kira-kira enam bulan lalu.

Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman itu kepada pemandu, Shahirul Syafiq Shaharin @ Hassan, 31, berkuatkuasa daripada tarikh tangkapan pada 30 Mac lalu.

Shahirul Syafiq didakwa memiliki dan menggunakan pelbagai lambang, logo, cop serta gelaran yang tidak diiktiraf untuk kegunaan sendiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah No 3, Jalan Enclave 3, Enclave Residence, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini kira-kira jam 11.45 malam pada 30 Mac lalu.

Shahirul Syafiq dituduh mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis menyerbu kediaman tertuduh dan menangkapnya yang ketika itu sedang tidur dan siasatan menemui pelbagai lambang, logo, cop, pingat dan watikah serta pakaian istiadat membabitkan lambang kebesaran di dalam rumah berkenaan.

Semakan dengan Unit Darjah Kebesaran dan Fungsi Khas, Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Wilayah Persekutuan serta dengan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Jabatan Perdana Menteri (JPM) mendapati semua lambang kebesaran itu adalah palsu.

Pihak berkenaan juga mengesahkan tiada rekod yang menunjukkan tertuduh ada menerima sebarang anugerah daripada Yang di-Pertuan Agong.

Semakan dan rakaman percakapan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Iskandar Mohd Kaus juga mengesahkan cop JPM digunakan tertuduh adalah palsu.

Polis juga merakam percakapan seorang doktor di Kamunting dekat Taiping yang mengesahkan tertuduh mendakwa dirinya sebagai Setiausaha Sulit Perdana Menteri dengan gelaran Datuk Seri dan menawarkan pingat Panglima Mahkota Wilayah Persekutuan membawa gelaran Datuk kepada mangsa dengan bayaran RM110,000.

Dalam rayuannya, Shahirul Syafiq berkata dia ditahan di Penjara Kajang dan belum berjumpa isteri dan dua anaknya sejak ditahan pada 30 Mac lalu.

Katanya, pengalaman pertama kali hidup dalam penjara sangat menyeksakan terutama apabila terpaksa menyambut Ramadan dan dua hari raya di dalam tirai besi.

“Kehidupan dalam penjara turut memberi peluang kepada saya mengikuti pengajian agama dan pengisian kerohanian yang diterima menginsafkan saya serta mengajar saya menjadi warganegara yang baik dan menghormati undang-undang.

“Saya berjanji menjadi warganegara yang baik dan mematuhi undang-undang apabila keluar penjara nanti,” katanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

SHAHIRUL Syafiq dihukum penjara 18 bulan selepas mengaku salah memiliki dan menggunakan pelbagai peralatan kebesaran palsu, kira-kira enam bulan lalu. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X