Rabu, 5 September 2018 | 9:14am
Sebahagian penagih yang ditahan AADK dalam serbuan di empat lokasi di Pendang awal pagi semalam. - Foto ihsan AADK

Cari adik, dapat abang

PENDANG: Asalnya adik dicari kerana disyaki penagih dadah, namun abangnya pula yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang kerana disyaki turut menagih ketika serbuan semalam.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi hingga 6.30 pagi itu, sepasukan anggota AADK Pendang mencari seorang lelaki berusia sekitar 20-an di sebuah rumah di Felda Sungai Tiang gagal apabila lelaki terbabit dikatakan pulang ke rumah mentuanya.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut di rumah itu mendapati abangnya yang berusia 38 tahun disyaki penagih dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu dan morfin.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Pendang, Mohd Hafiz Mansor, berkata berikutan itu pihaknya menahan lelaki terbabit untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, ibu bapa lelaki terbabit turut berada di rumah berkenaan.


Cubaan seorang lelaki warga Thailand melarikan diri gagal apabila dia berjaya ditangkap sejauh 200 meter dari restoran ala Thai di Jalan Gangsa, di sini, semalam. - Foto ihsan JIM Kedah

“Operasi ini dilakukan adalah berdasarkan maklumat awam yang diterima untuk menangkap penagih dadah dari rumah ke rumah yang dikenal pasti.

“Dalam operasi itu juga, kami menahan 10 orang disyaki penagih dan seorang daripadanya disyaki pengedar dadah yang berusia antara 20-an hingga 30-an di sekitar Felda Sungai Tiang, Kampung Padang Durian, Kampung Kubang Pisang dan Kampung Putat di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hafiz berkata, operasi ini turut dibantu anggota Balai Polis Kubur Panjang untuk membanteras kegiatan penagihan dadah di sekitar daerah Pendang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lapan yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu dan morfin manakala seorang lagi positif dadah jenis syabu.

“Bagaimanapun pengedar dadah yang ditahan itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sembilan lagi yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Pendang untuk disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Berita Harian X