Ahad, 2 September 2018 | 11:04pm

Lambaian akhir Munzirah

PASIR MAS: “Anak saya banyak kali melambai-lambai tangan sebelum bas yang dinaikinya bertolak malam tadi,” itu saat terakhir yang dikongsi bapa kepada Munzirah Jalaludin.

Munzirah, 20, pelajar semester akhir jurusan Diploma Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar meninggal dunia apabila bas ekspres dua tingkat dinaikinya terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana awal pagi tadi.

Jalaludin Ismail 56, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian ketika berada di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Banggol Kulim awal pagi tadi.

Katanya, anak bongsu daripada tiga beradik itu sepatutnya tiba di UiTM Seri Iskandar hari ini bagi memulakan sesi pembelajaran selepas bercuti semester selama tiga bulan.

“Saya dihubungi pensyarah UiTM yang memaklumkan anak saya terbabit dalam kemalangan pagi tadi namun tidak diberitahu mengenai keadaan sebenar kerana bimbang saya terkejut.

“Sebaik mengetahui saya membuat keputusan untuk ke sana bagi melihat sendiri keadaannya namun dalam perjalanan itu baru saya diberitahu bahawa Munzirah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jalaludin berkata selama tiga bulan berada di rumah anaknya menunjukkan perubahan sikap apabila menjadi peramah selain banyak meluangkan masa bersama keluarga.

“Sebelum ini dia memang kurang bercakap. Dia seorang anak yang kurang bergaul dan cuti semester ini pun dia tidak keluar ke mana-mana bersama rakan sebaliknya banyak meluangkan masa bersama keluarga.

“Tidak sangka perubahan itu menandakan dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Johan, Lubok Jong di sini, hari ini.

Jenazah tiba jam 9 malam tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Apam Lati malam ini.

Jalaludin Ismail. - Foto Attirmidzie Rahman
Berita Harian X