Jumaat, 31 Ogos 2018 | 11:18am
SEORANG kanak-kanak lelaki, Muhammad Rayyan Rizqi Mohd Fakhrul Zaman berusia dua tahun maut selepas digilis kereta Proton Iris yang dipandu bapanya, di hadapan sebuah restoran di Jalan Kota Bharu di sini malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Kanak-kanak maut digilis kereta dipandu bapa

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut apabila digilis kereta dipandu bapanya di hadapan sebuah restoran di Jalan Kota Bharu, di sini, malam tadi.

Dalam insiden pada jam 10.30 malam itu, Muhammad Rayyan Rizqi Mohd Fakhrul Zaman meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata terdahulu mangsa bersama ibu bapanya dikatakan baru selesai makan di sebuah restoran dan mahu menaiki kereta mereka di kawasan parkir untuk pulang ke rumah.

“Mangsa dan bapanya berusia 38 tahun masuk ke dalam kereta Proton Iriz sebelum kanak-kanak itu diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan. Mangsa dilihat menyandar pada pintu hadapan sebelah kiri.

“Ibu mangsa yang berada di luar kemudian dikatakan membuka pintu itu dan mangsa terjatuh ke luar kereta.

“Bapanya yang terkejut dan cuba menyelamatkan mangsa bagaimanapun dipercayai tertekan pedal minyak lalu menggilis kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, kereta itu turut bergesel dengan sebuah Proton Persona yang diparkir di sebelah kiri tetapi pemandunya dilaporkan tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini, dan proses bedah siasat dijalankan pada pagi ini.

61 dibaca
Berita Harian X