Khamis, 30 Ogos 2018 | 5:08pm
KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor(dua dari kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (kiri) bertanya khabar mengenai kesihatan Md Hashim Abdullah, 69, (kanan) ketika mengadakan program ziarah ke atas pesara polis sempena Hari Kebangsaan ke-61 di Permatang Manggis, Kepala Batas. - Foto Nur Izzati Mohamad

Polis akan ambil keterangan teman lelaki mangsa

KEPALA BATAS: Polis akan mengambil keterangan individu yang didakwa teman lelaki kepada wanita yang dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah flat dekat Taman Merbau Indah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata keterangan itu akan membantu polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan suami mangsa terhadap isterinya hingga mengakibatkan wanita itu menemui ajal.

Beliau berkata, laporan bedah siasat mendapati wanita berusia 25 tahun itu maut akibat dicekik suaminya sebelum ditetak dengan pisau pemotong daging.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut akibat dicekik dan suaminya kini direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, kita juga sedang mengesan individu yang didakwa menjadi teman lelaki mangsa untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya, di sini, hari ini.

Terdahulu Noorzainy ditemui ketika mengadakan Lawatan Ziarah ke atas Pesara Polis sempena Hari Kebangsaan Ke-61 bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.

Dalam kejadian jam 5 pagi kelmarin, kejiranan di kawasan itu dikejutkan dengan insiden pembunuhan membabitkan seorang wanita yang maut akibat ditetak suaminya.

Kejadian itu dikatakan berpunca akibat cemburu hingga berlaku perselisihan faham antara pasangan suami isteri terbabit.

Sebelum ini, Noorzainy dilaporkan berkata, suami mangsa mendakwa isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki berdasarkan perbualan di WhatsApp sejak tiga minggu lalu.

“Sejurus selepas itu mangsa ditolak sebelum dibunuh suspek dengan cara menetak mangsa dan mencekiknya sehingga mati.

“Suspek kemudian keluar dari rumah dengan membawa anak perempuannya berusia empat tahun sebelum pulang semula ke situ jam 10 malam,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek mendapati isterinya sudah tidak bernyawa sebelum membuat laporan polis berhubung keadaan mayat isterinya itu.

Suspek kemudian diberkas pada jam 2 pagi semalam untuk siasatan lanjut.

303 dibaca
Berita Harian X