Khamis, 30 Ogos 2018 | 9:43am
MANGSA meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala. - Foto ihsan pembaca

Pelajar maut motosikal rempuh kereta, digilis lori

KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Dua maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta lalu terjatuh dan digilis lori di Kampung Tikat, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, semalam.

Dalam nahas pada jam 4.20 petang, Nur Wardiah Syahirah Mustafa, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan dari arah PCB menghala ke Kota Bharu.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah Perodua Viva yang diletakkan di bahu jalan sebelah kiri.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di tengah jalan sebelum digilis sebuah lori datang dari arah sama.

“Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk bedah siasat.

“Mayat mangsa kemudian dituntut oleh keluarganya dari Kampung Penambang, di sini, bagi urusan pengebumian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan, termasuk mengesan lori berkenaan yang meninggalkan tempat kejadian selepas kemalangan itu.

Berita Harian X