Khamis, 30 Ogos 2018 | 9:13am

4 penjenayah warga Vietnam ditembak mati

KULIM: Empat penjenayah warga Vietnam dikenali Geng Tebuk ditembak mati selepas memecah masuk sebuah rumah dalam kejadian berbalas tembakan berhampiran Plaza Tol Lunas Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata empat suspek lelaki berusia 20 sehingga 30-an mati di lokasi kejadian selepas gagal melarikan dari kepungan pasukan Cawangan Jenayah Berat (D9) dan Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, jam 4.50 pagi.

Katanya, pihaknya yang melakukan rondaan cegah jenayah kemudian mendapat maklumat mengenai sebuah Proton Saga BLM warna biru yang dalam mencurigakan sebelum terserempak dengan semua suspek.

"Pasukan kami yang cuba memperkenalkan diri dan meminta suspek memberhentikan kereta mereka gagal berbuat demikian apabila suspek cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan tetapi berjaya dipintas selepas 10 kilometer dikejar anggota.

"Ketika cuba menahan mereka, salah seorang daripada mereka cuba menyerang polis menggunakan parang manakala seorang lagi bersenjatakan sepucuk pistol melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis hingga menyebabkan kesemua suspek berjaya ditembak mati dalam adegan berbalas tembakan," katanya yang ditemui pada sidang media di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pemeriksaan menemui dua bilah parang, sepucuk pistol separa automatik, pasport, beberapa peralatan memecah rumah dan menebuk peti besi.

Katanya, pihaknya juga menemui sebuak kotak yang dipercayai mengandungi barang milik mangsa mereka yang dipercayai hasil rompakan sebelum mereka ditembak mati.

"Kita percaya dengan mati kesemua empak suspek ini, ia dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan tebuk peti besi yang berlaku sekitar Alor Setar dan Baling, beberapa hari lalu.

"Kumpulan ini dipercayai bergiat aktif sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Selangor. Malah modus operandi mereka adalah memecah masuk rumah yang dipercayai mempunyai barang bernilai sebelum berpindah ke daerah lain bagi mengelakkan dikesan polis," katanya.

527 dibaca
MIOR Faridalathrash (kanan) melihat anngota Jabatan Forensik Ibupejabat Polis Kontijen Kedah memeriksa mayat penjenayah warganegara Vietnam yang ditembak mati di Lebuhraya Butterworth-Kulim berhampiran Plaza Tol Lunas. - Foto Azahar Hashim
KESAN darah pada kereta penjenayah warganegara Vietnam yang ditembak mati di Lebuhraya Butterworth-Kulim berhampiran Plaza Tol Lunas. - Foto Azahar Hashim
Berita Harian X