Rabu, 29 Ogos 2018 | 2:37pm

23 penagih dicekup

KUALA KUBU BHARU: Seramai 23 orang termasuk seorang wanita ditahan dalam satu serbuan dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Selangor di beberapa lokasi di sekitar daerah ini awal pagi tadi.

Serbuan menerusi Ops Perdana itu dilakukan bermula jam 8 pagi, 27 Ogos dan berakhir jam 3 pagi tadi mendapati 19 daripadanya positif dadah jenis heroin, syabu dan ganja.

Kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 56 tahun.

Ketua Operasi, Pegawai AADK Hulu Selangor, Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, serbuan itu membabitkan 23 anggota termasuk daripada daerah Ampang dan Kuala Selangor dan tertumpu di kawasan Kampung Kuantan, Batang Kali, Kampung Sungai Masin, Kuala Kubu Bharu, Kalumpang, FELDA Gedangsa.

"Ujian saringan air kencing terhadap kesemua 23 orang mendapati 19 daripadanya positif dadah jenis heroin, syabu dan empat negatif.

"Enam orang positif syabu, tiga ganja dan 10 orang positif heroin.

"Kita turut membuat rampasan beberapa paket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin seberat 54.71 gram dan syabu 6.08 gram," katanya kepada NSTP hari ini.

Beliau berkata, 16 orang ditahan mengikut Seksyen 3 (1) APD dan tiga mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1987 manakala empat orang diserahkan kepada pihak polis.

Katanya, seramai 13 orang kini direman, sementara dua lagi mendapat jaminan polis.

18 dibaca
Berita Harian X