Rabu, 29 Ogos 2018 | 2:31pm
MOHAMAD Hasan bersama isterinya, Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Seremban bagi mendengar keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Permohonan ketepi petisyen ditolak mahkamah

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk membatalkan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Rantau, yang difailkan oleh ahli PKR, Dr S Streram, baru-baru ini.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas meneliti semua afidavit dan hujahan bertulis yang difailkan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, Mohamad sebagai responden pertama sudah mengemukakan lapan bantahan mengikut Akta Pilihan Raya 1954.

Azimah menolak permohonan Mohamad selepas mendapati ketidakpatuhan yang ditimbulkan oleh responden tidak mempunyai merit dan alasan itu tidak mewajarkan responden membatalkan petisyen.

Pada 25 Jun lalu, Mohamad memfailkan bantahan awal untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Streram bagi kerusi DUN Rantau di Parlimen Rembau.

Dr Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengisytiharkan Mohamad sebagai pemenang kerusi DUN Rantau pada PRU-14, 9 Mei lalu.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Pegawai Pilihan Raya DUN Rantau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama dan Amino Agos dan SPR masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Beliau turut meminta SPR mengadakan pilihan raya kecil untuk kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, peguam responden kedua dan ketiga menarik balik permohonan mereka untuk membatalkan petisyen Dr Streram ketika prosiding pada 8 Ogos lalu.

Azimah kemudian menetapkan 12, 13, 14, 27, 28 September, 1 dan 2 Oktober depan untuk mendengar petisyen Dr Streram terhadap Mohamad, termasuk Amino Agus dan SPR.

Mohamad diwakili oleh lima peguam diketuai oleh Datuk Mohd Hafarizam Harun, manakala pasukan empat anggota Dr Streram diketuai oleh Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mohamad berkata beliau akan meminta peguamnya mengemukakan rayuan secepat mungkin dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.

“Saya ada asas yang kuat untuk ini. Saya tiada kaitan dengan apa yang berlaku ke atas Dr Streram.

“Saya boleh duduk di kerusi saksi. Saya hanya calon dan berada di sana untuk menghantar borang pencalonan. Selepas itu, kami menunggu di dewan sehingga semuanya selesai.

“Saya terkejut apabila nama saya diumumkan sebagai menang tanpa bertanding bagi kerusi itu,” katanya

Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata pasukannya sudah mengkaji semua lapan bantahan yang dibangkitkan dalam petisyen itu dan akan membawa tiga saksi bagi prosiding yang akan berlangsung bulan depan.

Dr Streram pula berkata, keputusan mahkamah hari ini membuktikan keadilan sudah berlaku.

“Jika borang penamaan calon berjaya diserahkan pada hari itu, kita tidak akan berada di mahkamah sekarang,” katanya.

Terdahulu, lebih 100 orang berkumpul di mahkamah seawal jam 8 pagi sebagai tanda sokongan mereka terhadap Mohamad dan Dr Streram.

733 dibaca
Berita Harian X