Rabu, 29 Ogos 2018 | 12:57pm
SEORANG wanita berusia 25 tahun mati dipercayai dibunuh suaminya berusia 25 tahun dalam kejadian di sebuah rumah Taman Merbau Indah, Singai Dua.

Isteri maut ditetak suami

BUTTERWORTH: Seorang wanita berusia 25 tahun maut ditetak dengan pisau pemotong daging oleh suaminya di sebuah rumah di Taman Merbau Indah, di sini, awal pagi semalam angkara didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, berlaku perselisihan faham di antara mangsa dan suaminya berusia 25 tahun sebelum dia ditetak dengan senjata berkenaan sehingga mati.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suami mangsa mendakwa isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki berdasarkan perbualan di laman sembang WhatsApp sejak tiga minggu lalu.

"Sejurus selepas itu mangsa ditolak sebelum dibunuh suspek dengan cara menetak mangsa dan mencekiknya sehingga mati.


SEBILAH pisau pemotong daging digunakan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai membunuh isterinya di sebuah rumah Taman Merbau Indah, Singai Dua.

"Suspek kemudian keluar dari rumah dengan membawa anak perempuannya berusia empat tahun sebelum pulang semula ke situ jam 10 malam tadi," katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek mendapati isterinya sudah tidak bernyawa sebelum membuat laporan polis berhubung keadaan mayat isterinya itu.

Noorzainy berkata, polis kemudian menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang dan terdapat lima kesan luka di badan mangsa termasuk di bahu kanan, bahu kiri, leher dan tangan kanan.

Katanya, polis juga menemui tompokan darah pada pisau pemotong daging yang diletakkan di sinki rumah dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.

"Susulan itu, pada jam 2 pagi tadi, polis memberkas suspek dan kes dianggap selesai," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X